tazkirah.org

 

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

 

Sahabat yang dirahmati Allah,

Wanita solehah adalah sebaik-baik perhiasan dunia sebagimana sabda Nabi SAW yang bermaksud : ” Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan itu adalah wanita solehah. ” (Hadis Riwayat Muslim)

 

Wanita cukup mudah untuk memasuki syurga Allah SWT apabila dia memenuhi empat ciri-ciri wanita solehah iaitu menunaikan solat fardu, puasa bulan Ramadan, menjaga maruah dan mentaati suaminya. Sebagaimana hadis Nabi SAW yang bermaksud  : “Apabila seorang wanita (isteri) itu telah melakukan sembahyang lima waktu, puasa bulan Ramadan, menjaga maruahnya dan mentaati perintah suaminya, maka ia dijemput di akhirat supaya masuk syurga mengikut pintunya mana yang ia suka (mengikut pilihannya).”(Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani)

 

Walaupun wanita mudah masuk syurga kenapa pula wanita ramai di neraka sebagaimana Nabi SAW melihat ketika Israk dan Mikraj.

 

“Aku telah meninjau syurga dan aku dapati kebanyakan penghuninya ialah kaum miskin, dan aku juga meninjau neraka dan aku dapati kebanyakannya penghuninya ialah kaum wanita .” (Hadis Riwayat Bukhari)

 

Sahabat yang dimuliakan,Walaupun banyak jalan-jalan kebaikan boleh dilakukan dan memudahkan wanita memasuki syurga Allah SWT, tetapi terdapat beberapa halangan terpaksa dihadapi oleh para wanita . Jika wanita tidak mengambil perhatian serius dan tidak berwaspada halangan, dugaan dan cabaran dikhuatiri wanita akan terjebak melakukan dosa dengan itu mereka akan dimasukkan ke dalam api neraka.

 

Seorang isteri tentulah mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadap suami. Tanggungjawab ini adalah suatu perkara yang besar dan tidak boleh diabai-abaikan. Isteri yang mengabaikannya senang mendapat laknat dan dikhuatiri termasuk ke dalam kategori isteri derhaka (nusyuz).

 

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah radhiallahu ‘anha bermaksud: “Aku pernah bertanya kepada baginda: “Siapakah orang yang paling berhak ke atas isteri ?” Baginda menjawab:”Orang yang paling berhak kepada isteri ialah suaminya”. Kemudian aku bertanya lagi :”Dan siapakah orang yang paling berhak ke atas suami?” Baginda menjawab:”Orang yang paling berhak ke atas seorang suami ialah ibu kandungnya.” (Hadis Riwayat Bazar dan al-Hakim)

 

Dalam sebuah hadis yang lain pula baginda bersabda bermaksud: “Sekiranya aku dibenarkan untuk memerintahkan seseorang bersujud kepada orang lain nescaya aku perintahkan seorang isteri bersujud kepada suaminya.” (Hadis Riwayat Tirmizi dan Ibnu Hibban)

 

Apakah ciri atau tanda isteri yang derhaka itu? Ini perlu diketahui semata-mata untuk dijadikan langkah waspada agar para isteri terhindar daripadanya. Berikut adalah di antara ciri-ciri atau tanda-tanda isteri derhaka:

 

1. Tidak mensyukuri kebaikan yang dilakukan suami.

 

Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bermaksud: “Aku lihat api neraka, tidak pernah aku melihatnya seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya. Telah aku saksikan kebanyakan ahli neraka ialah wanita. Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam ditanya: “Mengapa demikian ya Rasulullah?” Baginda menjawab: “Wanita mengkufurkan suaminya dan mangkufurkan ihsannya. Jikalau engkau berbuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia masih belum merasa berpuas hati dan merasa cukup.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

 

Ibnu ‘Asakir pula menyebut: “Apabila seorang isteri berkata kepada suaminya, aku belum pun melihat atau merasa nikmat pemberian daripadamu, maka ketika itu gugurlah segala pahala amalan kebajikannya.” Isteri yang mementingkan harta dunia, suka kepada kemewahan dan perhiasan dunia tidak akan ada sifat qanaah dan sering membebankan suami dengan perkara-perkara diluar kemampuan suami. Sifat kebendaan ini akan menyebabkan mereka tidak akan bersyukur di atas nikmat rezeki yang diberikan oleh suaminya.

 

2. Suka menyakiti hati suami.

 

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: “Kebanyakan ahli neraka adalah terdiri daripada kaum wanita.” Maka menangislah mereka dan bertanya salah seorang daripada mereka: “Mengapa terjadi demikian, adakah kerana mereka berzina atau membunuh anak atau kafir ?” Baginda menjawab : “Tidak, mereka ini ialah mereka yang menggunakan lidah menyakiti hati suami dan tidak bersyukur akan nikmat yang disediakan oleh suaminya.”(Hadis Riwayat Muslim)

 

Isteri yang suka menyakiti hati suami akan menerima balasan buruk sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam: ” Seorang wanita menyakiti suaminya, maka isterinya yang bidadari itu berkata: ‘Janganlah kamu menyakitinya semoga Allah mengutukmu, kerana dia (suami) itu disampingmu hanyalah sebagai orang asing yang akan berpisah denganmu menuju kami’.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

 

Biasanya apabila seorang wanita (isteri) memegang jawatan yang tinggi daripada suaminya, mempunyai keluarga yang berharta atau sebuk memegang jawatan di dalam masyarakat akan wujud sifat riak dan bangga diri. Suaminya dipandang sepi dan sukar untuk diberi nasihat. Bila dirumah sifat menjadi “bos” ketika dipejabat akan terbawa-bawa dirumah dengan ini sifat menghormati suami akan hilang dan jadilah dia seorang isteri yang derhaka.

 

3. Meneriama kedatangan seorang lelaki dirumah tanpa izin suaminya.

 

Suasana di akhir zaman ini kadangkala pergaulan bebas di antara lelaki dan wanita tanpa batas. Wanita muslim terbawa-bawa sikap wanita barat yang bebas bergaul walaupun mereka sudah menjadi isteri seperti keluar makan bersama ditempat kerja, keluar membeli belah dipasaraya dan membawa kawan lelaki datang kerumah dengan alasan membincangkan urusan perniagaan atau aktiviti masyarakat.

 

Akibat daripada pergaulan bebas tanpa had ini amat mudah boleh mengakibatkan wanita (isteri) berlaku curang kepada suaminya di luar rumah.

 

Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang bermaksud : “Tidak boleh seorang isteri mengerjakan puasa sunat, jika suaminya ada dirumah, serta tidak dengan izinnya dan tidak boleh memasukkan seorang lelaki ke rumahnya dengan tidak izin suaminya.”(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

 

Walaupun lelaki yang datang kerumah isteri tersebut adalah terdiri daripada mahramnya perlulah mendapat keizinan suaminya terlebih dahulu. Tetapi jika suami tidak ada halangan di atas kehadiran mereka tidak menjadi masaalah .

 

4. Keluar rumah tanpa izin suami.

 

Maksud firman Allah: “Janganlah mereka (perempuan-perempuan) menampakkan perhiasannya melainkan untuk suaminya.” (Surah an-Nur ayat 31)

 

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Apabila perempuan keluar rumah, sedangkan suaminya membencinya, dia dilaknat oleh semua malaikat di langit, dan semua apa yang dilaluinya selain daripada jin dan manusia sehingga dia kembali.” (Hadis Riwayat Thabarani di dalam al-Awsat)

 

Wanita sering keluar rumah dengan berhias, berwangi-wangian dan berpakaian tanpa menutup aurat yang sempurna. Terdapat kebanyakkan wanita muslim tidak menjaga aurat ketika keluar rumah. Suka memakai seluar jean, berbaju kemeja T-lengan pendik, tudung tiga segi yang nipis dan kecil dan berpakaian ketat menampakkan susuk tubuh mereka. Walaupun suaminya mengizinkan isterinya memakai pakaian tersebut (tidak sempurna berpakaian menurut Islam) darisegi akhlak islam suami dan isteri tersebut akan mendapat dosa disisi Allah SWT.

 

5. Meminta cerai daripada suami.

 

Sabda Rasulallah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang bermaksud : “Mana-mana isteri yang meminta suaminya menceraikannya dengan tiada sebab yang dibenarkan oleh syarak haram baginya bau syurga.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

 

Dalam kes meminta cerai kepada suaminya, seorang isteri dibenarkan sekiranya terdapat beberapa sebab yang di benarkan syarak seperti suami tidak memberikan nafkah zahir dan batin, suka memukul isteri dan menyuruh isteri melakukan perkara yang haram. Isteri boleh mengadu pada mahkamah syariah di atas perbuatan suaminya dan boleh menuntut fasakh. Jika isteri sudah merasakan tidak bersesuaian untuk hidup bersama suaminya dia boleh juga mengadu di makhamah syariah untuk Tebus Talak iaitu memberikan beberapa sejumlah wang sebagai tebusan kepada suaminya untuk dia diceraikan.

 

Tetapi dalam kes suami hendak berpoligami dan suami berkemampuan ketika ini isteri tidak ada hak untuk meminta cerai . Ini adalah kerana hukum berpoligami telah termaktub di dalam al-Quran dan ianya di halalkan oleh Allah SWT.  Jika suaminya telah pun berkahwin lain tanpa pengetahuannya dan jika dia memaksa suaminya mencerikan madunya dia akan mendapat laknat Allah dan berdosa besar. Suaminya akan menjadi  dayus apabila mengikut telunjuk isteri pertama dengan mengabaikan isteri keduanya.

 

Jalan sebaik-baiknya isteri pertama perlulah bertolak ansur dan janganlah mengikut nafsu amarah dan membelakangkan hukum agama. Jika kalian bersabar dan menerima kehadiran isteri kedua dengan hati yang tenang dan terbuka dan berfikiran positif ganjaran yang akan kalian terima cukup besar disis Allah SWT.  Jika kalian bertindak secara melulu tanpa di dorong oleh iman dan takwa berdasarkan hadis di atas tidak akan masuk syurga isteri yang meminta cerai tanpa alasan yang dibenarkan syarak.

 

6. Isteri yang tidak menunaikan hajat suami.

 

Sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam maksudnya : “Apabila memanggil suami akan isterinya ke tempat tidur, tetapi ditolaknya sehingga marahlah suaminya, maka akan tidurlah wanita itu di dalam laknat malaikat sehingga ke pagi.”(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

 

Rasulullah SAW terlihat wanita yang mengagumkan baginda. Kemudian baginda mendatangi isterinya (iaitu Zainab r.ha) yang sedang membuat adonan roti. Lalu baginda melakukan hajatnya (berjimak dengan isterinya). Kemudian baginda bersabda: Sesungguhnya wanita itu menghadap dalam rupa syaitan dan membelakangi dalam rupa syaitan (mengajak kepada hawa nafsu). Maka, apabila seseorang dari kalian melihat seorang wanita (yang mengagumkan), hendaklah ia mendatangi isterinya. Kerana yang demikian itu dapat menolak apa yang ada di dalam hatinya. (Hadis Riwayat Muslim, Tirmidzi, Abu Daud, Ahmad dan Baihaqi)

 

Sahabat yang dikasihi,

Demikian sebahagian daripada ciri-ciri atau tanda isteri derhaka dan balasan buruk yang akan diterima di akhirat nanti. Semoga ianya akan memberikan manfaat dan kesedaran bagi kita semua, khususnya pihak isteri supaya enam ciri-ciri yang boleh mendatangkan derhaka (nusyuz) dapat dielakkan.

 

Jika reda anak datang daripada reda ibu bapa maka reda isteri datang daripada reda suami. Isteri yang solehah akan menjadi ketua bidadari di syurga nanti sedangkan isteri yang nusyuz tempatnya di neraka . Kalian pilihlah mana yang terbaik kerana ahli hikmah ada berkata : “Wanita yang cerdik adalah wanita yang sanggup mengorbankan sedikit daripada perasaannya dan bersusah payah di dunia semata-mata untuk mencapai kebahagiaan di hari akhirat. ” Wallahualam

-Ustaz Abu Basyer

Photo credit; http://www.adpadiputra.com/

Written by admin

Leave a Comment